Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam
menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga memainkan
peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua
aspek kehidupan. Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan
proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu
dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil
pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasi
ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam
kehidupan seharian. Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat
sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan
perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja
yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang
diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada
dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan
untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and
Science, 1990).
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan
didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan
satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat
awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk.
Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini,
kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang
membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang
kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq
perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan
jiwanya.